Sakit jantung dikenal pasti sebagai punca kematian utama dalam kalangan rakyat negara ini. Terdapat tanggapan bahawa sakit jantung hanya dihidapi mereka yang mempunyai kandungan kolestrol yang tinggi, tekanan darah tinggi atau penghidap diabetis. Tanggapan ini silap kerana sakit jantung boleh dialami sesiapa saja yang tidak menjaga jantungnya dengan baik.
Terdapat beberapa panduan yang boleh diamalkan bagi menjaga kesihatan jantung. Antaranya:
Hentikan tabiat merokok atau minta rakan anda berhenti merokok.
Merokok boleh menghadkan peredaran darah dalam badan. Ia menyebabkan badan memerlukan lebih banyak vitamin A, C dan E. Tabiat merokok mengakibatkan tekanan darah tinggi, masalah jantung dan denyutan jantung tidak sekata. Jika anda tidak mampu meminta rakan anda berhenti merokok, anda perlu cuba berada di persekitaran yang bebas daripada asap rokok kerana menghidu asap rokok turut menambah risiko serangan sakit jantung sebanyak 30 peratus.
Beringat ketika makan atau mengamalkan diet seimbang
Makanan seperti daging yang berlemak, keju, makanan bergoreng, mentega dan kek dikenal pasti mengandungi kandungan kolestrol yang tinggi. Banyakkan makan ikan, buah-buahan segar dan sayur-sayuran. Jika perlu, ikan itu dikukus, dibakar atau dipanggang. Elak makan makanan ringan seperti snek, makanan yang banyak mengandungi MSG dan minuman yang berkafein seperti kopi, teh dan coklat.
Ketahui tahap kolestrol dalam badan
Anda memerlukan jumlah kolestrol yang kecil dalam badan bagi menghasilkan urat saraf dan hormon. Kadar yang biasa antara 4.5 dan 5.5.
Kekalkan berat badan sesuai
Berat badan yang berlebihan dan kegemukan boleh membawa kepada peningkatan risiko kematian yang cepat kerana masalah kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi dan masalah jantung. Satu-satunya cara mengurangkan berat badan secara selamat ialah mengamalkan senaman dan mengubah suai tabiat pemakanan.
Lakukan senaman sebagai gaya hidup
Jantung turut memerlukan senaman agar dapat sentiasa bertenaga dan mampu menjalankan fungsinya. Ketidakcerdasan akan menyebabkan darah menjadi beku dengan cepat.,
Amalkan gaya hidup bersantai
Belajar untuk hidup secara bersantai dan tidak dalam keadaan tergesa-gesa. Luangkan masa untuk melakukan sesuatu hobi atau riadah. Sikap agresif dan tidak bersabar akan menimbulkan kesan yang tidak baik kepada kesihatan.
Pemilihan telur, ayam dan daging
Elak memakan kulit ayam kerana ia mengandungi lemak yang tinggi. Buang kulit ayam sebelum memasak atau menggorengnya. Hindari kuning telur kerana ia mempunyai kadar kolestrol yang tinggi. Makan sejumlah kecil daging dan elakkan daripada memakan bahagian dalaman daging seperti usus, limpa, hati dan sebagainya. - FOMCA
No comments:
Post a Comment